RESTORAN makanan segera terkemuka, KFC melancarkan patung permainan Upin dan Ipin edisi terhad kepada pelanggannya terutama kanak-kanak hasil jalinan kerjasama dengan Upin dan Ipin.
[adsenseyu6] |
Dengan menggunakan cogan kata Betul-Betul-Betul Best, patung permainan Upin & Ipin edisi terhad ini adalah koleksi yang mesti dimiliki oleh semua penggemar Upin & Ipin.
Empat model patung Upin dan Ipin
Sebanyak empat model patung permainan Upin & Ipin akan ditawarkan secara bergilir-gilir pada setiap minggu. Model-model patung permainan tersebut boleh didapati dengan harga serendah RM9.70 bagi pelanggan yang bukan ahli Chicky Club dan RM9.20 bagi ahli-ahli Chicky Club dengan setiap pembelian hidangan KFC Upin & Ipin.
Walau bagaimanapun, dengan sebarang pembelian mana-mana produk ayam, para pelanggan juga berpeluang untuk membeli modelmodel patung permainan sahaja pada harga RM6.50 bagi pelanggan bukan ahli Chicky Club dan RM5.50 bagi ahli Chicky Club yang mana kesemuanya disasarkan untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun.
Pengarah Urusan, KFC Holdings (Malaysia) Bhd, Jamaludin Md Ali berkata, keputusan KFC untuk menjalin usaha sama dengan Upin & Ipin adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya yang kuat di kalangan kanak-kanak.
“KFC sentiasa mencari peluang untuk menghasilkan barangan mainan menarik dan hebat bagi memenuhi keperluan semasa”, katanya. Sejak kali pertama Upin & Ipin disiarkan di kaca televisyen, siri tersebut telah mendapat sambutan positif.
Sehingga kini, ia masih mempertahankan kedudukannya sebagai salah sebuah rancangan paling hangat diperkatakan. Pada masa ini, Upin & Ipin adalah program yang mencatat tontonan kedua tertinggi di FTA.
Model patung permainan Upin & Ipin ini boleh didapati di semua restoran KFC selama enam minggu mulai 14 Mei lalu hingga 20 Jun ini. Bagi mengeluarkan model patung permainan ini, KFC telah memeterai usaha sama dengan LC Merchandising Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Les’ Copaque Production. -sinarharian