Kuala Lumpur: Sikap suka berkongsi nombor pin dan kata laluan bersama pasangan dilihat penyebab utama berlaku jenayah siber membabitkan pemilik kad ATM, telefon bimbit, komputer, e-mel dan laman sosial.
[adsenseyu6] | ![]() |
Kebanyakan kes yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan pasangan suami isteri atau kekasih dan bila hubungan berkenaan berdepan masalah, seorang daripada mereka bertindak di luar batasan untuk membalas dendam.
Biasanya, mereka mencuri wang pasangan menggunakan kad ATM atau perbankan internet selain memuatnaik dan menyebarkan gambar lucah pasangan di internet atau laman sosial seperti Facebook, Twitter dengan tujuan memalukan atau mengugut mangsa.
Tak wajar kongsi nombor pin
Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Keselamatan Digital (Bahagian Pengawasan dan Keselamatan Rangkaian) SKMM, Rafidah Mat Isa, berkata kebanyakan mangsa sedar perbuatan mereka berkongsi nombor pin dan kata laluan adalah tidak wajar, namun sering bersikap sambil lewa.
“Mereka secara sukarela berkongsi nombor pin atau kata laluan, tidak sedar perbuatan itu akhirnya akan membawa padah sekiranya perhubungan mereka, tidak kira suami isteri atau pasangan kekasih, berdepan masalah pada masa depan.
“Ramai tidak sedar kesan perbuatan itu kerana mereka sering berfikir jenayah tidak akan berlaku ke atas mereka,” katanya selepas membentang kertas kerja pada perbincangan bertema ‘Cybercrime Effectiveness, Are We There?’ pada Pameran Cybersecurity Asia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Rafidah berkata, siasatan akan dilakukan sejurus menerima aduan daripada mangsa sebelum kes dibawa ke mahkamah atas persetujuan pejabat Peguam Negara, namun ada juga kes yang berjaya diselesaikan melalui rundingan.