KOTA BHARU, 11 Feb. – Beca, kaedah pengangkutan warisan sekitar 1970-an yang semakin dilupakan di Kelantan bakal diberi nafas baru melalui satu inisiatif khas antara Kementerian Pelancongan dan Jabatan Pelancongan Negeri dalam usaha menghidupkan kembali pengangkutan warisan itu.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pihaknya telah mengadakan satu perbincangan dengan Jabatan Pelancongan dan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan kepada Persatuan Beca Kelantan bagi melaksanakan program ”Beca Pelancongan” itu sebagai salah satu produk pelancongan utama.
“Hari ini saya telah bertemu dengan penarik beca di negeri ini, saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pelancongan untuk kita mencari inisiatif menghidupkan semula budaya menaiki beca melalui pelancongan.
“Kita akan mengadakan program ”Pelancongan Beca” di bandar Kota Bharu dan peruntukan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada Persatuan Beca yang mana setiap 30 penarik beca yang ada akan menerima RM200 seorang bagi tujuan menghias dan mencantikkan beca mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan Riang Ria Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Katanya, program itu dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan. – Bernama