KUALA LUMPUR – Bilangan kes penipuan secara online di Malaysia telah menurun sejak tahun lepas berikutan usaha berterusan oleh bank-bank untuk memastikan keselamatan online banking.
[adsenseyu6] |
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Alshari Yahya berkata, sehingga tahun lepas, kerugian kerana penipuan perbankan telah menurun kepada RM3.2 juta berbanding RM3.4 juta sebelum ini.
Kempen kesedaran online banking
“Walaupun jumlah itu kurang daripada 0.0026 peratus daripada transaksi RM15 trilion yang dicatatkan pada tahun lepas, kita masih perlu berhati-hati kerana penjenayah sentiasa mencari jalan baharu menipu mangsa mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran e-Perbankan di sini hari ini.
Kempen itu adalah usaha kerjasama yang diterajui oleh 13 bank komersil di negara ini, ahli bank utama Persatuan Perbankan Islam Malaysia, Keselamatan Siber Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Kempen selama enam bulan itu disasarkan di kalangan orang ramai mengenai perbuatan penipuan e-Perbankan semasa bagi membantu mereka mengelak menjadi mangsa.
Mesej kempen itu disalurkan melalui pelbagai platform pengiklanan seperti percetakan, elektronik dan media.
Bank-bank juga akan menggunakan kehadiran online masing-masing bagi mengukuhkan kempen melalui paparan poster dan pengedaran risalah di rangkaian cawangan-cawangannya.
Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata walau pun wujud lebih banyak kesedaran di kalangan orang ramai mengenai isu penipuan secara online, bank-bank berpendapat bahawa usaha memerangi penipuan sedemikian tidak leka.
“Kami menyedari keperluan untuk memberitahu orang ramai secara berterusan supaya mereka sentiasa menyedari dan mendapat maklum balas mengenai penipuan terbaharu.
“Sebagai penyedia perkhidmatan bertanggung jawab sosial, bank-bank telah membelanjakan jumlah wang yang banyak di dalam belanjawan tahunan masing-masing bagi memastikan keselamatan perkhidmatan e-perbankan yang ditawarkan,” katanya.
Selain memastikan sistem keselamatan yang kemas kini dan langkah perlindungan bagi para pelanggan, katanya bank-bank juga sentiasa memantau serta bertukar-tukar idea dan dapatan bagi memastikan mereka selangkah di hadapan pihak penjenayah.
“Matlamat kami ialah untuk mewujudkan impak lebih meluas di dalam usaha memerangi penipuan e-perbankan supaya pelanggan tidak sahaja dilindungi malah dapat melaksanakan transaksi dengan lebih yakin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peruncitan CIMB Bank Peter England menasihati para pengguna perbankan online supaya menyedari tawaran yang “terlalu baik untuk dipercayai.”
“Mereka tidak boleh terus memasuki pautan yang menyediakan e-mel atau berbuat demikian di khalayak ramai,” katanya. – Bernama