KOTA BAHARU 2 Mac – Kerajaan Kelantan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 14,000 unit rumah kos rendah bagi membolehkan mereka yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri.
[adsenseyu6] | ![]() |
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata jumlah 313 unit yang telah dibina kerajaan negeri itu bukan saja tidak mencukupi tapi juga bukti Kelantan sebenarnya tidak mampu menyediakan rumah tersebut.
Rumah Kos Rendah di Kok Lanas
“Jawapan yang diberikan di sidang DUN hari ini sebanyak 313 unit itu adalah begitu kecil jumlahnya. Tempat saya di Kok Lanas memerlukan kira-kira 1,000 buah rumah dan kami berpendapat sekurang-kurangnya 14,000 unit di seluruh Parlimen di Kelantan perlu dibina,” katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN di Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Isu perumahan rakyat miskin itu mendapat perhatian Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ketika merasmikan pembukaan persidangan DUN itu semalam yang meminta kerajaan Kelantan agar menyediakan rumah bagi golongan tidak berkemampuan.
Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas berkata wakil kerajaan pada persidangan itu hanya mengutarakan perkara retorik seperti isu royalti dan juga dinar emas yang belum terbukti keberkesanannya.
“Mereka memberikan jawapan retorik iaitu soal royalti yang tidak tahu ke mana, soal emas yang masih di peringkat batu dalam tanah dan kami di pihak pembangkang mahu mendengar apa yang mereka mahu katakan lagi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu membuat bancian untuk mengenal pasti jumlah sebenar rakyat miskin yang memerlukan rumah.
“Ini tidak…buat rumah dengan pihak swasta yang sebenarnya hanya untuk mencari untung mereka sahaja daripada soal kepentingan rakyat. Cari jalan binalah rumah flet (pangsa), rumah rakyat atau rumah murah,” katanya.
– Bernama