SERI KEMBANGAN – Niatnya baik, untuk menambah sumber pendapatan, namun pendekatannya salah apabila menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk kepentingan diri dengan misi mengejar kekayaan dalam tempoh singkat.
[adsenseyu6] | ![]() |
Taktik dua juruteknik komputer yang menjalankan aktiviti menjual komponen motosikal curi secara dalam talian (online) menerusi Internet sejak dua tahun lalu serta memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit, tidak berpanjangan.
Kegiatan licik mereka akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa dan mereka diberkas polis selepas rumah yang dijadikan markas meleraikan komponen motosikal diserbu.
Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, hasil risikan selama tiga minggu yang diketuai Ketua Polis Balai Serdang, Cif Inspektor Zamzam Yunus, polis menahan dua lelaki berumur 23 dan 24 tahun di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sungai Besi Indah, di sini, kira-kira jam 6 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, hasil siasatan, kedua-dua juruteknik komputer di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur, mengaku membeli motosikal curi dengan harga RM1,500 sebuah daripada pihak lain sebelum meleraikan komponen lalu dijual berasingan kepada mereka yang menempah barangan itu melalui iklan alat ganti yang dipaparkan di laman sesawang tertentu.
“Menggunakan kepakaran mereka yang mahir dalam bidang pengkomputeran, kedua-duanya menjalankan kerja sampingan dengan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.
“Modus operandi digunakan adalah menerima pesanan, meminta pelanggan memasukkan wang ke dalam akaun bank sebelum komponen yang dipesan dihantar melalui kiriman pos,” katanya pada sidang media di Balai Polis Serdang, di sini, semalam.
Abd Razak berkata, harga ditawarkan dua lelaki itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran komponen terbabit.
“Siasatan mendapati suspek membeli motosikal yang kebanyakannya dicuri di sekitar Lembah Klang. Mereka kemudian memadamkan nombor chasis dan nombor enjin tetapi masih berjaya dikenal pasti polis.
“Kami turut menjumpai empat motosikal yang belum sempat dileraikan di markas itu,” katanya.
Menurutnya, polis merampas pelbagai komponen yang sudah dileraikan termasuk ekzos, blok enjin yang dipadamkan nombor chasis dan roda, dianggarkan bernilai RM15,000.
Abd Razak berkata, polis masih menjalankan siasatan dari segi semua aspek dan laman sesawang yang digunakan, termasuk mengesan saki-baki ahli kumpulan itu, jika ada.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 A dan 411 Kanun Keseksaan dan kedua-dua lelaki itu direman sehingga 24 Januari ini,” katanya
– Sinar Harian