INTELLINUS Sdn Bhd (Intellinus), pengeluar komputer berjenama Intellinus (www.intellinus.com.my) dijangka mencapai sasaran jualan sejuta unit komputer tablet keluarannya dikenali Intellinus Classmate PC menjelang akhir tahun ini.
[adsenseyu6] | ![]() |
Naib Presiden Pemasaran dan Jualannya, Hurul Ain Ibrahim berkata, sasaran berkenaan dijangka dapat dicapai khususnya dengan keistimewaan yang terdapat pada produk berkenaan terutama perisiannya.
“Intellinus Classmate PC berbeza dengan komputer riba atau tablet sedia ada di pasaran kerana ia mempunyai dua fungsi dalam satu peranti iaitu boleh menjadi komputer riba atau tablet bergantung kepada kehendak pengguna.
“Ia boleh diubah menjadi tablet berfungsi dengan menyentuh skrin, malah boleh digunakan sebagai komputer riba mengikut kehendak masing-masing,” katanya.
Menurutnya, produk itu sesuai digunakan sebagai alat bantuan mengajar kanak-kanak kerana ia didatangkan dengan perisian yang dapat membantu kemahiran menulis, mengira dan melukis.
“Perisian Pen Input Method dan ArtRage dapat menggalakkan kanak-kanak membina kemahiran menulis, melukis dan mengira menerusi kaedah lebih menyeronokkan.
“Malah, maklum balas daripada pelanggan sedia ada membabitkan guru juga mengakui produk ini banyak membantu sesi pengajaran dan pembelajaran khususnya di kalangan pelajar kelainan upaya (OKU),” katanya.
Selain perisian itu, ia dilengkapi Windows Journal yang dapat membantu penulisan nota menggunakan pen stylus dan MyKamus Dewan Pro yang turut membantu pencarian perkataan dalam tulisan jawi.
Harga Intellinus
Hurul Ain berkata, sempena promosi pengenalan, pihaknya memberi tawaran istimewa apabila untuk pembelian lebih 1,000 unit, pihaknya menawarkan harga RM599 seunit, lebih 500 unit (RM799) dan bagi pembelian individu, harga yang ditawarkan adalah RM999.
“Tawaran ini terhad untuk tempahan sehingga 28 Februari ini dan selepas tempoh itu ia akan dijual pada harga RM1,799,” katanya. -hmetro