KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan SEA ke-26, Indonesia akan menggunakan kepakaran syarikat teknologi maklumat (IT) Malaysia sebagai pentadbir IT sepanjang berlangsungnya temasya dwitahunan itu November ini.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata syarikat IT itu akan bekerjasama dengan jawatankuasa penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) menguruskan pendaftaran kira-kira 10,000 anggota kontinjen ke temasya itu yang dibuat secara on-line.
“Saya dimaklumkan bahawa sebuah syarikat IT Malaysia akan dipilih sebagai pentadbir IT namun belum ada perjanjian rasmi dibuat di antara kedua pihak mengenai perkara itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Indonesia menawarkan 542 pingat emas menerusi 43 acara sukan yang akan diadakan di dua venue utama iaitu di Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 22 November ini.
Dalam perkembangan lain, Sieh meminta persatuan yang menghantar atlet mereka atas tiket kategori B supaya membayar wang pendahuluan MOM untuk perbelanjaan atlet ke temasya Sukan SEA Indonesia sejurus selesai kejohanan.
Di bawah kategori A, MOM akan membiayai perbelanjaan atlet yang layak secara merit ke mana-mana temasya tetapi jika atlet itu tidak melepasi had dan masa kelayakan, persatuan masih boleh menghantar mereka di bawah kategori B.
Semua perbelanjaan di bawah kategori B akan ditanggung oleh persatuan namun terdapat persatuan yang terpaksa menggunakan wang MOM terlebih dahulu.
MOM hanya akan membayar kembali wang persatuan jika atlet berkenaan mendapat sekurang-kurang pingat perak. – BERNAMA