IBM labur RM1b
SYARIKAT penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global, IBM Corporation (IBM) akan melabur RM1 bilion secara berperingkat sehingga 2016, antaranya bagi membina Pusat Servis Antarabangsa di Cyberjaya, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada 3,000 tenaga mahir tempatan.
Pusat Servis Antarabangsa yang dijangka siap pada 2013 itu akan menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pelanggan mereka di seluruh dunia seperti analisis data, sistem komputer, Pusat Kecemerlangan bagi pengedaran perisian selain membantu melatih tenaga mahir tempatan berdasarkan kepakaran antarabangsa IBM.
Pengurus Besar, Kecemerlangan dan Penyampaian Teknologi Global IBM Corporation, Patt Cronin berkata, Pusat Servis Antarabangsa ke-21 itu bakal memulakan pembinaannya tahun depan dan akan mengambil pekerja mahir secara peringkat.
“Buat permulaan kami sudah membuka tawaran pekerjaan kepada tenaga mahir yang berpengalaman dan mereka akan dilatih oleh tenaga pengajar di IBM bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan antarabangsa kami termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.
“Kualiti perkhidmatan menjadi perkara paling kritikal bagi kami, justeru mereka akan diberi latihan secukupnya dan untuk rancangan jangka masa panjang, kami menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti tempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan terlatih di sini,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan IBM Malaysia, Ramanathan Sathiamutty.
Patt berkata, Malaysia menjadi lokasi pilihan Pusat Servis Antarabangsa IBM berikutan kemudahan disediakan kerajaan termasuk jaminan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Kami memilih Malaysia untuk membina kemudahan terbaru IBM disebabkan kerjasama erat antara sektor swasta dan awam di negara ini, model perniagaan yang kompetitif selain bakat serta kemahiran tenaga mahir di sini,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat awal, IBM mengambil 700 tenaga mahir tempatan berkhidmat di pusat servis sementara di Cyberjaya untuk menunggu bangunan kekal siap pada 2013.
“Sebaik bangunan berteknologi hijau itu siap, IBM akan menawarkan peluang pekerjaan kepada 3,000 tenaga mahir tempatan secara berperingkat,” katanya. -hmetro