Alor Setar: Telekom Malaysia (TM) Bhd Kedah dan Perlis berjaya menarik kira-kira 2,000 pelanggan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps sedia ada untuk melanggan perkhidmatan Televisyen Protokol Internetnya (IPTV) iaitu HyppTV sejak dilancarkan pada awal bulan ini.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Pengurus Besarnya Noor Lela Baba berkata, perkhidmatan terbaru TM itu dijangka mampu menyediakan hiburan lebih baik dan meningkatkan pengalaman menonton tanpa gangguan termasuk faktor cuaca dan bencana.
Katanya, menerusi perkhidmatan terbaru itu, hanya pengguna Streamyx yang melanggan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi 4Mbps dan 8Mbps mampu menikmati pengalaman dan perkhidmatan HyypTV seperti pengguna UNiFi sebelum ini.
“Sejak dilancarkan hampir sebulan lalu, kita berjaya memperoleh 2,000 pelanggan Streamyx sedia ada di Kedah dan Perlis untuk menggunakan perkhidmatan terbaru ini.
“Justeru, kita menyasarkan lebih ramai pelanggan Streamyx dengan kelajuan 1Mbps ke atas akan menambah kelajuan kepada 4Mbps atau 8Mbps bagi membolehkan mereka menikmati perkhidmatan IPTV yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Gemerlapan Merdeka Raya 2013 TM Kedah Perlis di Bangunan TM Kedah, di sini, semalam.
HyppTV yang sebelum ini dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi kini juga boleh didapati menerusi Streamyx. TM kini mempunyai 93,000 pelanggan Streamyx di Kedah dan Perlis.
Noor Lela berkata, bagi pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baru, HyppTV ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkai iaitu suara, Internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan melanggani HyppTV Platinum Pack.
Manakala, katanya, pelanggan Streamyx 4Mbps yang baru dan sedia ada boleh menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan Internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan.
