Kuala Lumpur: Denda atau penjara. Itu hukuman yang menanti peniaga atas talian yang didapati masih berdegil enggan mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
[adsenseyu6] |
Hukuman itu selaras dengan Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang boleh menjatuhkan denda RM50,000 atau penjara dua tahun kepada peniaga yang disabitkan dengan kesalahan.
Penipuan urus niaga online
Peniaga diberi peluang terakhir untuk mendaftar perniagaan berikutan peningkatan kes penipuan urus niaga atas talian yang semakin membimbangkan dengan 1,891 kes dilaporkan pada tahun lalu membabitkan kerugian RM6.2 juta iaitu pertambahan sebanyak 140 kes berbanding 1,751 kes pada 2012 dengan kerugian RM17 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur lagi dengan individu yang mengambil kesempatan di atas kepercayaan rakyat terhadap urusan jual beli atas talian.
“Kita (KPDNKK) dapati banyak juga peniaga menipu pelanggan dengan mengatakan mereka mendaftar dengan SSM, sedangkan mereka tiada lesen perniagaan dan meneruskan penipuan sambil mengaut keuntungan.
“Setiap perniagaan sama secara atas talian atau konvensional perlu mendaftar perniagaan masing-masing dengan SSM bagi menjamin hak pengguna,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik.
Menurut Hasan, pengguna perlu bijak ketika melakukan urus niaga atas talian dengan memastikan sama ada peniaga berkenaan mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM atau sebaliknya.
“Banyak saluran disediakan untuk orang awam seperti laman web SSM dan KPDNKK untuk memberi maklumat mengenai penipuan perniagaan atas talian dan kali ini, kita tidak akan bertolak ansur lagi.
“KPDNKK akan melakukan lebih banyak penyiasatan ke atas perniagaan atas talian supaya dapat mengurangkan kes penipuan secara menyeluruh,” katanya. -hmetro