MENYEDARI pasaran yang agak besar dalam industri pendidikan di Malaysia, bekas graduan London School Of Economics, Warren Leow memperkenalkan aplikasi bagi membantu pelajar mengulang kaji dengan ‘hujung jari’ mereka.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] Guru App

Dikenali sebagai Guru App, aplikasi itu adalah satu rangkaian sosial pendidikan bagi membolehkan pelajar untuk tahap Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengulang kaji soalan-soalan peperiksaan terkumpul bagi tahun sebelumnya.

Leow berkata, beliau melihat permintaan dan pasaran yang berpotensi tinggi dalam dunia pendidikan, menyebabkan beliau mengambil peluang membangunkan aplikasi itu. Tambahan pula, setakat hari ini tidak ada banyak aplikasi seumpama itu di pasaran.

“Jika dibandingkan pelajar beberapa tahun lalu dengan hari ini, gajet mudah alih seperti tablet dan telefon pintar sering menjadi teman setia mereka. Berdasarkan situasi ini, tidak salah saya membawa satu kelainan dalam sistem pembelajaran.

“Guru App menawarkan aplikasi yang membolehkan pelajar mengulang kaji dengan mudah di mana sahaja menggunakan peranti mudah alih,” katanya yang juga pernah menetap selama 10 tahun di London, United Kingdom.

Menurutnya, bahan rujukan yang terdapat dalam rangkaian sosial itu dikumpulkan daripada bahan-bahan rujukan terbuka di laman sesawang lain seperti YouTube dan laman web penerbit buku.

Katanya, bahan-bahan yang dikumpulkan akan disediakan dalam bentuk video, kuiz, pembentangan dan forum. Leow berkata, ada juga bahan yang diperoleh daripada penerbit bahan itu sendiri dan dimuat naik ke aplikasi itu untuk dijadikan rujukan pelajar.

Labur RM15k bangunkan aplikasi

Menurut Leow, Guru App diperkenalkan di pasaran tempatan sejak pertengahan November tahun lalu dan boleh dimuat turun secara percuma. “Aplikasi ini dibangunkan sejak Julai tahun lalu dengan kerjasama rakan kongsi di India,” katanya.

Mengulas berhubung pelaburan, Leow berkata, beliau membelanjakan RM15,000 bagi membangunkan aplikasi itu menggunakan wang simpanannya sendiri.

Katanya, setakat ini, aplikasi itu direka khusus untuk pengguna telefon pintar dan hanya terdapat menerusi Android, tetapi juga boleh dimuat naik menerusi laman sesawang www.guru-app.com.

Walaupun aplikasi itu pada masa ini hanya menyediakan pendidikan untuk pelajar yang mengambil peperiksaan PMR dan SPM, Leow turut merancang untuk membawakan soalan-soalan untuk pelajar sekolah rendah pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, Guru App juga diharapkan menjadi platform rujukan berguna dan berharga kepada pelajar dengan menawarkan bahan rujukan bagi semua mata pelajaran.

Hasrat tambah jumlah pengguna

Katanya, setakat ini, Guru App mempunyai 15,000 pendaftar. “Kami menyasarkan untuk menambah 100,000 pendaftar dalam tempoh enam bulan lagi,” katanya. Leow berkata, setakat ini, aplikasi ini sering menjadi antara aplikasi tiga teratas yang menjadi pilihan di storan Playstore.

“Kami berhasrat untuk menjadikan Guru App, aplikasi nombor satu kepada orang ramai khususnya pelajar dan menjadi bahan rujukan pilihan mereka,” katanya. Menurutnya, maklum balas yang diperoleh daripada pengguna aplikasi itu adalah sangat menggalakkan.

“Rata-rata pengguna memberikan pendapat yang sama, iaitu bahan rujukan yang diberikan mudah untuk difahami dan aplikasi ini menarik,” katanya. Menurutnya, bagi menambah bahan-bahan rujukan sedia ada di rangkaian sosial itu, Guru App menggalakkan mana-mana penerbit bahan rujukan pendidikan untuk bekerjasama.

Leow berkata, Guru App juga akan diperkenalkan di India dan United Kingdom pada masa akan datang. “Tetapi bergantung kepada sambutan pengguna di Malaysia terlebih dahulu,” katanya. -sinarharian

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *