Guardian lancar kedai online
PENERAJU rangkaian farmasi, kecantikan dan penjagaan diri, Guardian Malaysia Sdn Bhd menjangka pengenalan pembelian dalam talian (online), Guardian E-Store akan menyumbang sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan kepada jualan syarikat itu.
[adsenseyu6] |
Ketua Pegawai Operasi Guardian Malaysia, Loi Liang Tok berkata, Guardian E-store mempunyai 80 peratus barangan yang ditawarkan di cawangan Guardian. Menurutnya, harga barangan yang ditawarkan dalam talian adalah sama seperti mana-mana cawangan Guardian di seluruh negara.
Produk Kedai Online Guardian
“Guardian E-Store boleh diakses 24 jam dan menawarkan 6,000 produk yang terdiri daripada makanan tambahan kesihatan, produk kecantikan, penjagaan kulit, kosmetik dan barangan am.
“Kami akan menambah lebih banyak produk, rangkaian dan formulasi baharu dan keperluan bermusim secara tetap,” katanya selepas merasmikan pelancaran laman beli-belah dalam talian itu di Petaling Jaya, semalam.
Liang Tok berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pembekal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk memberikan liputan kawasan yang luas dan memastikan pesanan dapat dihantar dalam masa tiga atau lima hari.
“Setakat ini, hanya Guardian di Bangsar, Kuala Lumpur menjadi kedai Guardian E-Store,” katanya. Liang Tok berkata, Guardian E-Store adalah saluran baharu untuk memberikan keselesaan membeli-belah kepada pelanggan dan menjimatkan masa mereka.
“Kami juga memberikan penekanan kepada aspek keselamatan transaksi e-Kedai. Kami gunakan penyedia gerbang pembayaran terjamin iaitu CIMB Gateway, salah satu daripada peneraju dalam sektor e-Dagang,” katanya. -sinarharian