San Francisco: Google Inc membeli perkhidmatan pemetaan dalam talian Waze menerusi urus niaga bernilai AS$1.03 billion (RM3.2 bilion) dalam usahanya menjauhkan aplikasi terbaik daripada dimiliki pesaingnya serta meningkatkan teknologi bagi menambah baik ketepatan dan kegunaan sistem navigasinya.
[adsenseyu6] |
Pengambilalihan itu diumumkan semalam, menamatkan spekulasi sejak beberapa bulan lalu bahawa Waze, syarikat pemetaan dalam talian dari Israel, menarik minat beberapa pembeli berpotensi selepas perkhidmatannya mendapat permintaan meluas dalam kalangan pengguna peranti mudah alih.
Waze menyatukan elemen rangkaian sosial kepada peta bagi mewujudkan arahan dan tetapan navigasi yang lebih tepat berhubung keadaan trafik terkini di sekitar kawasan terbabit. Google Inc mengatasi dua pesaing utamanya Facebook dan Apple untuk mengambilalih Waze, yang berpusat di Israel namun beroperasi di Palo Alto, California, berdekatan dengan beberapa syarikat besar di Lembah Silikon.
“Kami memilih banyak pilihan dan percaya Google adalah rakan niaga terbaik,” Kata Ketua Eksekutif Waze, Noam Bardin dalam blognya. Butiran lanjut urus niaga itu tidak dinyatakan namun The Associated Press mengesahkan harga jualan itu daripada sumber rapat urus niaga.
Google tidak dijangka mengumumkan harga belian itu hingga urus niaga itu difailkan secara rasmi.
Waze yang menduduki tangga keempat sebagai syarikat paling mahal diambil alih daripada keseluruhan 240 urus niaga dilaksanakan Google, kini ‘berakhir’ selepas 15 tahun dalam industri.
Pembelian terbesar dilaksanakan Google ialah Motorola Mobility Holdings bernilai AS$12.4 bilion tahun lalu, DoubleClick AS$3.2 bilion pada 2008 dan YouTube AS$1.76 bilion pada 2006. – AP