KUALA LUMPUR: Ulama digesa membincangkan secara terperinci mengenai fikah siber sebagai panduan bagi menjaga adab, etika, kemaslahatan umat Islam dalam dunia maklumat tanpa sempadan, sekali gus mengelak pelanggaran hukum syarak.

Sambil menyifatkan dunia siber hari ini terutama di kalangan umat Islam sudah melanggar batas, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kanan), berkata sudah tiba masanya garis panduan dirangka pihak berkaitan dengan memberikan kupasan terhadap dalil dan nas dalam konteks semasa.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya garis panduan disenaraikan dengan lebih terperinci bagi memudahkan pengguna siber mematuhi etika, sekali gus mengelak terperangkap dalam dunia fitnah yang boleh meruntuhkan masyarakat.

“Penyalahgunaan siber terutama di kalangan orang Islam macam sudah tak ada batas, nak tuduh orang, nak fitnah orang, nak kata pada orang, macam tak berdosa bila duduk depan internet.

“Maka kita perlukan ulama untuk memperkatakan mengenai fikah siber, apa dia panduan, adab, hukum yang membabitkan soal penggunaan internet atau siber.

“Saya harap badan bukan kerajaan (NGO) dapat mengadakan seminar untuk membahaskan mengenai fikah siber yang akan dapat memberi manfaat kepada umat Islam di seluruh negara, apa sebenarnya adab sebagai orang Islam, hukum orang Islam mengguna siber,” katanya selepas menghadiri sesi perbincangan mengenai Peranan Ulama dan Cendekiawan Islam Dalam Mendepani Dunia Siber pada Himpunan Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, di sini, semalam.
Perbincangan itu turut disertai Profesor Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Sidek Baba, manakala Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Sabri Mohamad merangkap moderator.

Himpunan berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini menghimpunkan lebih 300 peserta bagi membincangkan isu semasa di kalangan umat Islam dan berusaha mencari kesepakatan serta penyelesaian untuk menyatukan pemikiran ummah di samping menyusun langkah kesederhanaan (wasatiyah) Islam dalam tindakannya yang selaras dengan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya kemungkinan apa akan berlaku jika penyalahgunaan siber tidak dibendung, Mohd Asri berkata internet akan menjadi tempat penyebaran fitnah yang boleh menjatuhkan institusi Islam serta maruah manusia.

Dalam isu berkaitan, Mohd Asri menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan garis panduan khususnya kepada pemimpin yang menghadiri majlis perayaan agama kaum lain bagi mengelak isu itu diputar belit oleh pengikut parti yang fanatik, selain memastikan tiada unsur pelanggaran akidah.

Beliau turut menggesa supaya pemimpin dan penyokong parti politik membebaskan agama daripada kepentingan parti politik mereka dengan mengelak cubaan mengeksploitasi agama dan menjadikannya sebagai bahan menikam musuh politik.

“Menyalahgunakan agama, dalil untuk menghentam pihak lain, semua dalil agama untuk dia, apabila kena giliran dia, dia terlepas dan kita lihat banyak kes, ini bahaya.

“Golongan ulama juga perlu mengelak mengeluarkan fatwa bersifat kepentingan parti politik, sebaliknya perlu keluar dari kerangka politik. Sikap fanatik kepada parti juga perlu dielakkan, jangan menggunakan agama sebagai senjata atau alat berpolitik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan The Wall Street Journal, Mohd Asri menegaskan jika sokongan itu dibuat dalam konteks hari ini yang memperlihatkan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin, sokongan itu disifatkan sebagai sangat buruk dari kaca mata agama dan hak asasi manusia. -bharian

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *