SAMSUNG Electronics Co (Samsung) mengunjurkan jualan 10 juta unit Galaxy S3 menjelang Julai ini sekali gus menjadikannya model telefon pintar paling laris keluaran syarikat Korea itu.
[adsenseyu6] | ![]() |
Jualan hebat Galaxy S III yang dilancarkan hujung bulan lalu dan disasarkan menyaingi Apple iPhone dijangka meningkatkan perolehan bahagian telefon bimbit Samsung pada suku kedua berbanding suku pertama tahun ini.
Keadaan itu bertentangan dengan unjuran pasaran, kekangan pengeluaran dan kelemahan ekonomi global akan memberi tekanan kepada perolehan syarikat itu.
Saham Samsung jatuh lebih empat peratus pada Isnin kepada paras terendah dalam empat bulan setengah, selepas broker menurunkan unjuran keuntungan suku tahunan lantaran kebimbangan berhubung perniagaan telekomunikasi dan cip syarikat itu.
Penanda aras indeks KOSPI jatuh sebanyak 1.6 peratus. “Keadaan pasaran keseluruhan adalah mencabar berikutan isu zon euro dan bekalan komponen yang terhad, namun keputusan suku kedua kami akan lebih baik daripada suku pertama,” kata JK Shin, ketua bahagian mudah alih Samsung.
Galaxy S3 dilancarkan pada Mei
Keuntungan bahagian mudah alih Samsung berjumlah AS$3.6 bilion (RM11.5 bilion) pada Januari hingga Mac, merangkumi 73 peratus keuntungan operasi kumpulan. Samsung melancarkan jualan global bagi Galaxy S III pada 29 Mei, tetapi penghantaran terjejas berikutan kekurangan komponen seperti selongsong telefon bimbit itu.
“Bekalan kekal terhad berikutan permintaan kukuh dan kekurangan komponen, namun kami menjangkakan bekalan keseluruhan akan dipertingkatkan mulai minggu depan,” kata Shin. Akhir April lalu, Samsung berkata telefon pintar Galaxy baru akan menjadi penyumbang prestasi kewangan suku kedua syarikat.
Penganalisis menurunkan unjuran penghantaran telefon pintar Samsung pada suku kedua beberapa minggu lalu, dengan jangkaan jualan model terbaru Galaxy akan menyebabkan penurunan lebih ketara beberapa produk terdahulu. Mereka juga menyandarkan unjuran itu kepada bekalan terhad S III dan saingan sengit daripada pengeluar telefon murah seperti Huawei Technologies dan ZTE Corp.
JPMorgan mengurangkan unjuran bekalan telefon pintar Samsung pada suku kedua 10 peratus kepada 50 juta unit. Samsung menjual 44.5 juta telefon pintar pada Januari hingga Mac, bersamaan hampir 21,000 unit setiap jam sekali gus membolehkannya menguasai 30.6 peratus pasaran. Apple menjual 35.1 juta iPhone, dengan 24.1 peratus pasaran.
Samsung memperkenalkan siri pertama Galaxy pada 2010, tiga tahun selepas iPhone melancarkan iPhone, bagi menyaingi kejayaan pelancaran telefon pintar Apple. – REUTERS
Pengguna iPhone 5 guna lebih banyak data - ejoeSolutions
14/01/2013[…] enam berbanding jumlah data yang dimuat turun berbanding tahun lalu. Sementara itu, telefon pintar Samsung Galaxy SIII juga meningkat dari segi penggunaan data dan berada pada kedudukan lima teratas daripada purata […]