Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd (Celcom) menjangkakan pertumbuhan tambahan enam peratus ke atas perolehannya dari tahun ke tahun apabila memperkenalkan platform hiburan peribadi Escape bermula tahun depan.
[adsenseyu6] |
Escape yang diperkenalkan menerusi Escape Axiata Sdn Bhd iaitu salah satu syarikat di bawah Kumpulan Axiata yang berfungsi sebagai entiti menyediakan perisian Escape mengandungi pelbagai filem dari dalam dan luar negara. Manakala Celcom berfungsi menyalurkan hiburan berkenaan menerusi rangkaian telekomunikasi bagi membolehkan pengguna memindah turun filem berkenaan.
Celcom Escape bantu promosi filem
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pengenalan Escape turut membantu meluaskan filem tempatan ke luar negara menerusi kehadiran Kumpulan Axiata di beberapa negara asing antaranya Indonesia, Sri Lanka, Singapura, Bangladesh, Kemboja, Pakistan, India dan Thailand.
Beliau berkata, ketika ini, Kumpulan Axiata mencatat lebih 215 juta pengguna telefon mudah alih di seluruh dunia dan ini sangat membantu memperkenalkan produk Malaysia di peringkat antarabangsa pada masa depan.
“Dengan pengenalan Escape, semua lebih 13 juta pengguna Celcom dapat menikmati platform hiburan ini secara automatik dengan memindah turun aplikasi Escape secara percuma. “Ketika ini terdapat 200 filem di dalam Escape dan ia dijual mengikut pekej langganan dipilih pengguna. Ini membolehkan orang ramai menikmati hiburan di mana saja mereka berada serta menghentikan tayangan pada bila-bila masa,” katanya pada majlis pelancarannya di sini, semalam.
Katanya, Celcom menyasarkan 15 peratus kemasukan pelanggan baru menerusi pengenalan Escape ini pada masa depan kerana ia pembangunan platform hiburan baru di negara ini yang boleh diakses menerusi telefon pintar, tablet, komputer riba dan komputer peribadi. -hmetro