PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Program Transformasi Digital dinamakan Digital Malaysia, sekali gus melengkapkan Agenda Transformasi Nasional yang memacu ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] digital malaysia

Perdana Menteri berkata, inisiatif Digital Malaysia adalah satu daripada program transformasi utama dalam dasar transformasi nasional yang juga inisiatif terakhir diketengahkan selepas Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diumumkan sebelum ini. Sebahagian inisiatif itu akan memberi tumpuan khusus kepada dua pemacu utama, iaitu inovasi dan kreativiti serta produktiviti.

Digital Malaysia jadi inisiatif utama

Digital Malaysia menjadi inisiatif utama yang akan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-14 Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia (MIAP), Koridor Raya Multimedia (MSC) di pejabatnya semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali.

Najib berkata, inisiatif Digital Malaysia disasarkan memberi sumbangan RM75 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020. Selain itu, katanya, inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada menyumbang kepada GNI sebanyak RM93 bilion dan jangkaan RM126 bilion daripada projek ICT di bawah GTP dan ETP.

Ia menjadikan sumbangan keseluruhan inisiatif Digital Malaysia kepada GNI ialah RM294 bilion menjelang 2020. Menerusi inisiatif Digital Malaysia, kedudukan Malaysia dalam ranking ekonomi digital disasar kepada 20 negara teratas menjelang 2020, berbanding kedudukan 36 pada masa ini, manakala kedudukan daya saing dunia pada ranking ke-10, katanya.

Mengulas mesyuarat MIAP, Najib berkata, ia antara lain membincangkan kaedah untuk menyuntik kemahiran pemikiran kreatif dan inovatif dalam sistem pendidikan.

Terdahulu, berucap sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Najib berkata, hasrat kerajaan mewujudkan negara berasaskan Ekonomi Digital memerlukan satu rangka kerja khusus, bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya, selain bagi menjamin keberkesanannya.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bidang digital turut berperanan penting atau menjadi teras kepada pelaksanaan program transformasi sedang dijalankan.

Malah, katanya, kerajaan juga sedar era baru perkembangan ekonomi turut dijana menerusi ekonomi berasaskan pengetahuan dengan teknologi digital sebagai pemangkin utamanya. -bharian

admin
admin

2 Comments

  1. 12 projek IT diumum akhir tahun - ejoeSolutions
    13/05/2012

    […] lalu, Najib ketika mengumumkan Program Transformasi Digital berkata, inisiatif Digital Malaysia adalah satu daripada program transformasi utama dalam dasar […]

  2. ejoeSolutions Digital Malaysia sumbang RM288j » ejoeSolutions
    18/09/2013

    […] Program Digital Malaysia, yang dilancarkan pada Julai tahun lalu menyumbang RM288 juta kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) serta mewujudkan 3,335 pekerjaan bernilai tinggi, kata Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).  […]

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *