Kuala Lumpur: CIMB Bank melancarkan penyelesaian pembayaran mudah alih menerusi telefon pintar atau tablet berasaskan cip yang pertama di Malaysia ditawarkan khusus untuk segmen pelanggan perniagaan pelbagai saiz dikenali sebagai Plug n Pay.
[adsenseyu6] |
Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata, perkhidmatan berkenaan memerlukan pengguna memasang kelengkapan pembaca kad ke peranti mudah alih mereka.
Ia juga membolehkan pelanggan membuat urus niaga kad kredit berasaskan cip secara terus selepas memuat turun aplikasi mudah alih sistem itu.
“Terdapat permintaan yang tinggi bagi penggunaan kad kredit dan debit di negara ini. Namun, kebanyakan pelanggan memilih teknik pembayaran menggunakan kad.
“Kami yakin perkhidmatan ini dapat membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kerana tidak perlu bimbang mengenai kos infrastruktur bagi penyelesaian pusat jualan utama yang tinggi pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Plug n Pay, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Perbankan Jualan Global, Tukaran Asing dan Urus Niaga CIMB, Thomas Tan dan Ketua Kumpulan Kad dan Pembiayaan Peribadinya, Aaron Loo.
Menurutnya, selepas pengesahan pembelian dibuat menerusi Plug n Pay, resit elektronik akan diterima serta-merta oleh pembeli menerusi e-mel atau SMS.
Katanya, Plug n Pay juga menawarkan penggunanya pendekatan komprehensif bagi menguruskan bayaran secara elektronik yang mana mereka boleh menyemak waktu sebenar, menjejaki lokasi pada masa urus niaga dibuat menggunakan ciri geo-lokasi dan butiran pengguna menerusi aplikasi mudah alih.
Peranti Plug n Pay yang kini sudah berada di pasaran itu dijual pada harga RM250 seunit dan boleh menerima semua jenis kad jenama MasterCard dan VISA. Manakala aplikasi mudah alih itu juga boleh didapati di Apple App Store dan Google Play Store.
Sementara itu, menurutnya pelancaran Plug n Pay itu adalah antara langkah strategik kumpulan perbankan itu ke arah membantu usaha kerajaan menggalakkan bayaran secara elektronik dan mengurangkan urus niaga secara tunai.
“Berdasarkan kajian dunia, penyelesaian pusat jualan (POS) ketika ini dianggarkan 30 juta unit dan ia dijangka meningkat kepada lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
“Bank Negara juga menyasarkan untuk meningkatkan urus niaga tanpa tunai perkapita daripada 44 kepada 200 dan mengurangkan penggunaan cek lebih daripada separuh daripada 207 juta kepada 100 juta menjelang 2020,” katanya.