KUALA LUMPUR: Meskipun tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil ke atas pesalah cetak rompak perisian, peningkatan kegiatan cetak rompak di Malaysia kini membimbangkan, kata seorang penganalisis perisian terkemuka.
[adsenseyu7] |
“Apa yang tidak disedari oleh orang ramai ialah apabila mereka membeli perisian, mereka sebenarnya membeli lesen untuk menggunakannya, bukannya perisian sebenar.
“Lesen itulah yang menyatakan berapa kali mereka boleh memasang perisian berkenaan. Oleh itu mereka perlu membacanya. Jika pembeli membuat lebih banyak salinan perisian berbanding yang dibenarkan oleh lesen, mereka sebenarnya melakukan cetak rompak,” kata Roland Chan, Pengarah Kanan Business Software Alliance (BSA) kepada Bernama.
Kajian cetak rompak perisian dunia oleh International Data Corporation bagi BSA Malaysia menunjukkan kadar cetak rompak komputer peribadi ialah sebanyak 56 peratus pada 2010.
Cetak rompak perisian ialah salinan yang tidak dibenarkan atau pengedaran perisian cetak rompak menerusi penyalinan, memuat turun, berkongsi, menjual atau memasang beberapa salinan ke dalam komputer kerja atau peribadi.
Chan berkata nilai perisian cetak rompak pada 2010 dianggarkan US$606 juta.
“Ia petanda buruk yang boleh menjejaskan industri perisian. Malaysia perlu menangani cetak rompak perisian ini dengan mengambil langkah bagi mengatasi masalah ini.
“Sudah sampai masanya undang-undang hak harta intelektual digubal dan dilaksanakan bagi menghalang orang ramai daripada terlibat dalam cetak rompak perisian.
Beliau berkata pada masa ini undang-undang Akta Hak Cipta 1987 mesti dikuatkuasakan.
Mengikut undang-undang itu, mana-mana organisasi, pengarah atau pengurusan kanannya boleh didenda antara RM2,000 dan RM20,000 dan boleh dipenjara hingga lima tahun bagi setiap salinan program perisian.
Beliau berkata pada 2011, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat 61 serbuan dan merampas 394 komputer dan peralatan berkaitan serta 1,416 salinan perisian yang disyaki cetak rompak, kesemuanya bernilai kira-kira RM8.2 juta.
Sambil menggesa orang ramai supaya menghentikan kegiatan mencetak rompak perisian, beliau berkata BSA bekerja rapat dengan MDTCC dalam mendidik orang ramai mengenai sebab mengapa mereka perlu menggunakan perisian tulen.
“Contoh program Anugerah Korporat Tulen yang dilancarkan pada 2011, memperakui syarikat yang mengurus perisian dengan baik dan hanya menggunakan perisian tulen.
“Dari lebih 2,000 syarikat yang memohon menyertai program itu pada 2011, 228 berjaya memenuhi kesemua kriteria,” katanya. – BERNAMA