Sering kali kita terbaca tentang kisah kejayaan ramai individu yang menghasilkan pendapatan menerusi Internet. Ada yang melakukannya secara sampingan dan ramai juga melakukannya secara sepenuh masa.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Mendengar cerita kejayaan ini, membuatkan ramai orang teruja untuk turut mencuba dan seterusnya menghasilkan pendapatan di Internet. Namun begitu, seringkali keterujaan itu berakhir dengan kekecewaan. Harapannya mahu buat duit di Internet, tetapi apa yang berlaku sebaliknya pula, duit simpanan yang ada lesap begitu saja.
Skim cepat kaya
Semuanya gara-gara tertipu dengan skim cepat kaya yang kelihatan terlalu menarik bagi orang yang mahu jalan mudah dan cepat di dalam menjana pendapatan di Internet. Dunia buat duit di Internet tidak jauh berbeza dengan dunia sebenar. Secara kasar, terdapat tiga cara buat duit di Internet iaitu dengan cara berniaga, bekerja sebagai agen ataupun melabur.
Cara paling pasti untuk seseorang menjana pendapatan di Internet adalah dengan berniaga. Bermaksud, mereka perlu ada produk. Produk itu sama ada produk fizikal, produk digital mahupun perkhidmatan.
Apabila ada produk, barulah mereka boleh memasarkan produk tersebut di Internet sama ada menggunakan medium website, blog ataupun Facebook.
Manakala, cara buat duit di Internet secara bekerja pula bermaksud, mereka boleh menjadi agen di dalam program affiliate yang dikendalikan laman web yang dipercayai.
Program affiliate
Program affiliate ialah program agen pemasaran apabila orang ramai boleh berdaftar dan diberi komisyen kepada mereka apabila menghasilkan jualan.
Namun, perlu juga berhati-hati kerana ada sesetengah skim cepat kaya di Internet yang menggunakan nama program affiliate untuk menutup tembelang mereka.
Cara paling mudah untuk membezakan program affiliate sebenar dengan program affiliate skim cepat kaya ialah program affiliate sebenar selalunya boleh disertai secara percuma tanpa perlu bayaran yuran keahlian. Manakala program affiliate skim cepat kaya memaksa ahli mereka membayar yuran keahlian dan mencari ahli lain untuk menipu pengguna Internet.
Pelaburan menerusi Internet
Manakala untuk cara buat duit menerusi pelaburan pula, sehingga kini, belum ada lagi laman web yang boleh dipercayai menguruskan pelaburan secara sah dan berlesen. Jika adapun, hanya laman web dari bank tempatan yang menawarkan platform untuk urusan jual beli saham.
Jadi, jika ada laman web mengatakan mereka boleh memberikan kadar keuntungan tetap setiap hari atau setiap bulan terhadap pelaburan anda. Silalah lari jauh-jauh.
Tambahan, untuk melakukan pelaburan menerusi Internet, orang ramai perlu memastikan setiap ejen pelaburan mampu menunjukkan prospektus pelaburan syarikat berkenaan dan penyata kewangan mereka setiap tahun. Namun, ejen pelaburan palsu biasanya mengatakan ia polisi sulit yang tidak boleh didedahkan. Ini menunjukkan ia satu bentuk pelaburan palsu di Internet.
Lebih mudah, orang ramai boleh menyemak syarikat pelaburan itu mempunyai pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mendapat kebenaran dari Bank Negara Malaysia untuk menjalankan urusan pelaburan. Sekiranya tiada, ia menunjukkan satu lagi unsur penipuan dalam pelaburan. – Penulis adalah Pengasas WangCyber.com
