BATA (Malaysia) Sdn Bhd (Bata) berhasrat memperluaskan pengaruh jenamanya di Malaysia dengan meletakkan sasaran untuk meningkatkan 10 peratus penguasaannya dari tahun ke tahun dalam segmen pasaran kasut setahun dan pengenalan kedai kasut Bata online Home (http://bata.com.my) yang dijangka turut merangsang peningkatan itu.
[adsenseyu6] |
Pengarah Urusannya, Luciano Bagnobianchi berkata, ketika ini Bata menguasai 18 peratus pasaran dan Bata Home iaitu perkhidmatan membeli barangan Bata melalui laman web dan penghantaran terus kepada pelanggan meyakinkan syarikat itu untuk terus melonjakkan momentum jenamanya di negara ini.
“Sejak Bata Home dilancarkan pada 2001, sistem e-dagang yang beroperasi di lima negara Eropah itu diperluaskan ke negara lain sehingga Bata Home menjadi satu identiti perniagaan yang berjaya di India pada 2010. Ia hasil strategi pemasaran menggunakan laman web yang memberi kesan positif kepada keuntungan syarikat.
Sasaran Kedai Kasut Bata Online Home
“Di Malaysia, Bata Home menyasarkan produknya untuk semua golongan dan pelbagai jenama terkemukanya termasuk Bata Men & Ladies, Marie Claire, Power, Weinbrenner, North Star, Bubblegummers, Baby Bubble, Primavera dan Teva & Puma yang disediakan di dalam laman web terbabit,” katanya pada majlis memperkenal sistem itu di Kuala Lumpur.
Katanya, selepas pelanggan memilih barangan melalui katalog yang terdapat di dalam laman web mereka boleh membuat pembayaran secara dalam talian dan menikmati perkhidmatan penghantaran secara percuma ke semua destinasi di seluruh negara. Ia beroperasi lima hari seminggu bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Pelanggan boleh menghubungi talian 1800-22-2282.
Ketika ditanya mengenai rancangan pembukaan cawangan terbarunya di Malaysia, beliau berkata, syarikatnya terus mencari peluang perniagaan melalui perluasan cawangannya di seluruh Malaysia dengan membuka rangkaian cawangan baru dan menaik taraf kedai sedia ada.
“Tahun ini sebanyak 20 kedai dirancang untuk ubah suai dari segi konsep reka letak dan setakat ini 10 cawangan sudah siap dinaik taraf. Pada 2012, dijangkakan 30 cawangan akan terbabit dalam proses ubah suai yang dijangka menelan kos jutaan Dolar Amerika,” katanya.