Kuala Lumpur: Asustek Computer Malaysia Sdn Bhd (ASUS) menyasarkan penguasaan 30 peratus bagi pasaran komputer negara dalam tempoh dua tahun akan datang berbanding 24 peratus yang dicatatkan ketika ini.
[adsenseyu6] | ![]() |
Pengarah Rantau ASUS Asia Tenggara bagi Kumpulan Perniagaan Sistem Rex Lee berkata, beliau yakin sasaran jualan komputer terbabit dapat dicapai berdasarkan prestasi terkini syarikat sebagai pengeluar jenama notebook nombor satu di pasaran tempatan.
Menurutnya, pengenalan produk baru setiap tahun diharap dapat meningkatkan penguasaan keseluruhan syarikat dalam pasaran sekali gus mampu bersaing dengan beberapa jenama antarabangsa yang bertapak kukuh di negara ini.
“Malaysia salah satu negara Asia yang perlu diberi tumpuan memandangkan syarikat mencatatkan prestasi setanding dengan jenama lain dalam segmen notebook. Syarikat kini berusaha menghasilkan produk lebih berkualiti, inovatif dan bergaya dalam pelbagai segmen bagi memastikan sasaran terbabit dapat direalisasikan,” katanya pada majlis pelancaran produk baru ASUS di sini, semalam.
5 Produk Baru
ASUS memperkenalkan lima produk baru terdiri daripada Fonepad Note FHD 6, VivoBook S551 Series, Memo Pad HD 7, Padfone Infinity dan N550 Series.
Rex berkata, pengenalan produk baru itu membuktikan syarikat sentiasa berusaha mengubah inovasi ke arah lebih baik bagi memastikan ia bukan saja mudah digunakan, namun membantu pengguna atau manusia sedar mengenai potensi diri masing-masing.
Harga pasaran bagi Asus Memo Pad HD7 RM649, Fonepad Note FHD6 (RM849), VivoBook S551 Series (RM3,499 dan RM2,799), N550 Series (RM3,699 dan RM2,999) manakala PadFone Infinity (RM2,699). -hmetro