ASTRO Malaysia Holdings Sdn Bhd (Astro) menyasarkan penembusan 100 peratus pelanggannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang bersandarkan pelbagai pengenalan perkhidmatan baru yang menepati kehendak pengguna seperti Astro On The Go.
[adsenseyu6] |
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, sebagai peneraju inovasi terkini, Astro mencatatkan beberapa kejayaan yang boleh melonjakkan nama pihaknya dalam industri hiburan termasuk definisi tinggi (HD), 3D, PVR dan Astro First.
“Langkah pertama merealisasikan misi 100 peratus itu dimulakan dengan pengenalan khidmat Astro On The Go yang membolehkan pelanggan mengakses saluran TV Astro bila-bila masa dan di mana saja menggunakan peranti mudah alih mereka.
“Sehingga kini, kami memperoleh 50 peratus penembusan bagi rangkaian di seluruh Malaysia dan Astro On The Go mampu memberikan kami satu langkah ke depan,” katanya pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, semalam.
Astro On The Go boleh didapati dari Apps Store Apple
Astro On The Go boleh diakses menggunakan laptop menerusi laman web www.astro.com.my atau iPad yang perlu dipasang dengan aplikasi terlebih dulu dan perlu dipindah turun dari Apps Store Apple.
Sebanyak 11 saluran ditawarkan secara percuma hingga 31 Ogos ini manakala perkhidmatan sama turut menawarkan video atas permintaan (VOD) serta TV Ulangan (Catch Up TV).
Perkhidmatan diperkenalkan secara berfasa dengan fasa pertama bermula hari ini manakala fasa kedua bermula pada 1 September membabitkan pelanggan B.yond IPTV serta pengenalan platform Android.
Fasa ketiga pula disasarkan kepada semua pelanggan Astro sedia ada dan baru.