KUALA LUMPUR – Serangan siber dan ancaman berkaitan di negara ini masih terkawal berikutan komitmen dan kerjasama pelbagai agensi menangani masalah itu.
[adsenseyu6] | ![]() |
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Keselamatan Siber dan pihak polis bekerjasama untuk mengesan dan menghapuskan ancaman siber.
“Dengan kemunculan segala ancaman, yakinlah kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat di ruang siber…daripada risiko yang mereka hadapi dan melindungi mereka daripada ancaman itu.
“Kita telah dapatkan pengawal atur, penggubal dasar dan penguat kuasa undang-undang untuk bekerja bersama-sama bagi menyelesaikan perkara itu, dan mencegah penjenayah siber daripada menipu pengguna Internet yang tidak bersalah,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Sidang Kemuncak Keselamatan Maklumat Ketiga di sini hari ini.
Sidang kemuncak dua hari yang bermula hari ini mengumpulkan penggubal dasar keselamatan sektor korporat bagi membincangkan keutamaan strategik, faktor risiko berpotensi dan ancaman, serta menyediakan panduan tentang bagaimana pakar industri bertindak terhadap cabaran ini.
Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT)
Jailani berkata Laporan Ringkas Suku kedua 2013 Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mendedahkan dari April hingga Jun tahun ini, perkhidmatan Siber999 mengendalikan 3,093 insiden iaitu kenaikan 23.7 peratus, berbanding suku pertama tahun ini.
Katanya pada suku kedua 2013, kejadian seperti penipuan, berkaitan kandungan, kod berniat jahat, pencerobohan dan gangguan siber meningkat manakala insiden lain menurun secara sederhana.
Beliau berkata peningkatan jumlah jenayah siber adalah membimbangkan kerana mereka berpotensi melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negara.
“Walaupun tiada kes serius berlaku di negara ini setakat ini, adalah penting bagi kita untuk mempertimbangkan aspek keselamatan pengguna Internet, malah kita harus sentiasa bersiap sedia dan merancang setiap kemungkinan, seperti mengukuhkan penapisan dan sistem rangkaian untuk mengelak daripada digodam.
“Saya percaya kementerian lain mempunyai sistem penapisan sendiri yang mampu memastikan data mereka di ruang siber selamat daripada penggodam,” kata Jailani.
Memberikan contoh, timbalan menteri itu berkata pada 2011, sekumpulan penggodam dikenali sebagai ‘Anonymous’ melancarkan serangan bersepadu melibatkan sejumlah 200 laman web, 60 peratus daripadanya milik kerajaan.
“Bagaimanapun serangan itu hanya memberi sedikit impak kepada pengguna Malaysia kerana kerajaan telah bersedia untuk yang terburuk lagipun serangan itu terhadap laman web maklumat dan bukan transaksi,” katanya.
Sementara itu, Jailani berkata menerusi usaha sama antara SKMM, polis dan Bank Negara, sejumlah 2,611 laman ‘phishing’ ditutup tahun lepas.
Beliau berkata jumlah laman ‘phishing’ yang ditutup menurun dari Januari hingga Mei tahun ini iaitu 652, berbanding 835 bagi tempoh yang sama tahun lepas, pengurangan itu jelas menunjukkan aktiviti penguatkuasaan berkesan. – Bernama