Seattle: Amazon memperkemas barisan komputer tabletnya dengan memperkenalkan peralatan baru dipanggil Kindle Fire HDX, yang lebih pantas dan ringan berbanding generasi terdahulu.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Versi dalam tujuh dan 8.9 inci berkenaan juga mempunyai paparan yang lebih tajam dan berwarna warni berbanding model lama malah kedua-duanya juga mempunyai piksel bagi setiap inci yang lebih tinggi daripada model terbaru iPad.
Bagi membantu pengguna yang kurang mahir dengan tablet, Kindle baru itu didatangkan dengan ciri-ciri dipanggil ‘Mayday’, yang membolehkan pengguna mendapatkan wakil perkhidmatan pelanggan secara langsung dalam satu tetingkap video kecil.
Pembantu itu akan menjelaskan ciri-ciri baru atau mengenal pasti masalah sambil membimbing pengguna dengan kawalan tangan di skrin. Malah, mereka juga boleh mengawal peralatan itu dari jauh.
Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos memperkenalkan ciri-ciri itu kepada pemberita dengan berkata ia ‘keseluruhannya unik’ dan mengambil kesempatan daripada keupayaan tinggi perkomputeran awan Amazon serta prasarana perkhidmatan pelanggannya.
Ia juga menggunakan reputasi kecemerlangan perkhidmatan pelanggan Amazon.com Inc. “Anda tidak akan berasa takut dengan peralatan ini,” kata Bezos.
Dalam satu demonstrasi, Bezos meminta seorang wakil perkhidmatan pelanggan di skrin memberi cadangan aplikasi terlaris. Wakil itu mencadangkan ‘Angry Birds: Star Wars II’. Bezos juga mendapat arahan mengenai bagaimana untuk menetapkan had masa pelbagai aktiviti bagi kanak-kanak.
Harga Kindle Fire HDX
Sambil Kindle baru itu dinaikkan taraf dalam pelbagai cara, Amazon juga mengurangkan harga untuk tablet peringkat pemula tujuh inci, Kindle Fire HD dengan memori lapan gigabait (GB) kepada AS$139 (RM446) daripada versi AS$199 (RM639) dengan memori 16 GB.
Ini menjadikannya hanya AS$20 lebih mahal daripada peralatan pembaca elektronik khas terbaru Amazon, Kindle Paperwhite. Kindle Fire HD disaluti dalam badan aloi magnesium baru seperti model HDX, namun memiliki resolusi skrin dan kuasa pemprosesan model lama.
Penganalisis teknologi pengguna dengan firma penyelidikan NPD Group, Stephen Baker, berkata pengurangan harga untuk Kindle Fire HD akan membantu Amazon bersaing dalam pasaran tablet berbanding penambahan ciri-ciri baru untuk model terkininya. – AP
