JAKARTA: Agensi Pemantauan Dadah dan Makanan (BPOM), dalam Operasi Pangea kelimanya, merampas beribu-ribu dadah haram dan tiruan yang dipasarkan di Internet
| [adsenseyu6] | ![]() |
Pengerusi BPOM, Lucky S. Slamet semalam berkata, dalam operasi itu, agensi berkenaan mengenal pasti 83 laman web yang dikatakan mengedar dadah haram dan tiruan.
Jumlah itu meningkat daripada 30 laman web yang dikenal pasti ketika operasi sama, tahun lalu.
“Kami meminta Kementerian Komunikasi dan Maklumat untuk segera menyekat dan menutup laman web berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat BPOM di Jalan Percetakan Negara, Jakarta Tengah.
Dalam operasi tahun ini, BPOM merampas 66 jenis ubat tiruan, kebanyakannya untuk masalah mati pucuk, diikuti dengan pil melangsing badan dan menaikkan syahwat wanita yang bernilai Rp150 juta (RM48,043) yang dipercayai diedar di Internet.
Lucky berkata, pegawai mereka turut menahan dua suspek dalam operasi itu dan dalam proses membawa empat kes ke mahkamah.
“Kami akan terus melakukan siasatan untuk mencari dalang di sebalik laman web ini,” katanya.
Operasi BPOM itu dilakukan di dua bandar, iaitu Jakarta dan Yogyakarta dari 25 September hingga 2 Oktober dengan kerjasama Polis Nasional, Pejabat Pendakwa Raya Negara dan Pejabat Kastam dan Eksais di Kementerian Kewangan.
Kira-kira 100 negara, termasuk Indonesia mengambil bahagian dalam Operasi Pangea kelima ini di bawah pengawasan Pusat Biro Nasional (NCB) dan Interpol yang bertujuan untuk membongkar penjualan produk haram termasuk ubat haram di Internet.
NCB dan Interpol memulakan Operasi Pangea pada 2008 dengan penyertaan daripada lapan negara, diikuti pada 2009 dan disertai oleh 25 negara. Operasi pada 2010 disertai oleh 44 negara dan pada 2011, 81 negara turut serta.
Indonesia mula menyertai Operasi Pangea pada 2011. Dalam operasi itu, BPOM merampas 57 dadah tiruan dan yang paling banyak adalah dadah meningkatkan keupayaan seks dan pil pelangsing badan bernilai Rp82 juta (RM26,171). – Jakarta Post
