TIGA kumpulan perbankan terbesar negara iaitu Malayan Banking (Maybank), CIMB Bank dan Public Bank, dijangka melancarkan secara rasmi perkhidmatan perbankan mudah alih, yang membolehkan pengguna melaksanakan transaksi perbankan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), pada Mei ini.
![]() |
[adsenseyu7] |
Jika urus niaga perbankan sebelum ini hanya boleh dilaksanakan menerusi telefon pintar dan komputer menerusi khidmat perbankan dalam talian, perkhidmatan baru yang dikenali sebagai MyMobile itu, antara lain akan membolehkan pelanggan memindahkan dana termasuk di akaun bank berlainan, serta membayar bil dengan menggunakan telefon mudah alih biasa.
Sumber industri berkata, penyediaan perkhidmatan itu adalah antara inisiatif Bank Negara Malaysia untuk mewujudkan ekosistem pembayaran bersepadu yang akan mempercepatkan perpindahan negara kepada sistem pembayaran secara elektronik (e-pembayaran), sekali gus menghasilkan kecekapan ekonomi yang lebih tinggi.
“Jika sebelum ini, pengguna telefon pintar yang memiliki akses Internet saja yang boleh melaksanakan urusan perbankan tetapi dengan MyMobile, semua pengguna telefon mudah alih boleh berbuat demikian. Transaksi itu kelak boleh dilaksanakan menerusi pesanan ringkas.
“Difahamkan tiga bank iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank serta dua syarikat telekomunikasi terbesar negara menjadi perintis penyediaan perkhidmatan itu,” katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika ini, ketiga-tiga bank itu sudah membuka pendaftaran kepada pelanggan yang berminat menggunakan perkhidmatan itu menerusi laman web rasmi perbankan Internet masing-masing. Sumber menjelaskan, kini ada permintaan tinggi untuk mendapat penyelesaian pembayaran mudah alih, justeru penawaran perkhidmatan baru itu akan memu-dahkan pengguna melaksanakan urus niaga perbankan masing-masing.
Perkhidmatan MyMobile itu, katanya, dibangunkan oleh anak syarikat Bank Negara Malaysia, Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear).
Bank Negara dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2011 yang dikeluarkan Rabu lalu, berkata MyMobile ditawarkan secara perkongsian dengan pengendali rangkaian mudah alih utama di negara ini.
Ciri utamanya merangkumi penggunaan kod pendek USSD yang sama (*500*888#) oleh semua bank peserta supaya pelanggan masing-masing dapat mengakses perkhidmatan MyMobile dan penyeragaman reka bentuk menu serta prosedur perbankan.
Menerusi perkhidmatan itu, pengguna berdaftar boleh melihat sejarah urus niaga, membuat pertanyaan mengenai baki dan urus niaga pemindahan dana serta pembayaran bil pada bila-bila masa dan dari mana-mana lokasi.
Perkhidmatan ‘MyMobile’ itu juga menyokong pemindahan dana dengan menggunakan nombor telefon mudah alih benefisiari dan bukannya nombor akaun bank.
Dengan kaedah itu, kata Bank Negara, ia mengenepikan keperluan mendedahkan butiran akaun bank kepada penghantar kerana nombor akaun bank benefisiari diberikan secara langsung kepada bank pilihannya sama ada melalui pendaftaran terlebih dulu dengan bank atau apabila dana dipindahkan. -bharian