Kuala Lumpur: Perbankan Internet dan mudah alih di negara ini memperlihatkan potensi untuk meningkat selanjutnya seiringan dengan sektor perkhidmatan kewangan yang semakin canggih.
[adsenseyu6] | ![]() |
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sektor perkhidmatan kewangan, terutamanya perbankan, memerlukan kemajuan teknologi untuk mempermudah transaksi. “Seiringan dengan kemajuan teknologi dalam zaman telefon pintar dan phablet, gabungan perkhidmatan perbankan dan teknologi di Malaysia berkembang dengan pesat,” katanya dalam ucapannya pada Persidangan dan Pameran Banktech Asia 2013, di sini, semalam.
Sementara itu, Ahmad berkata perbankan Internet berpotensi menjana penjimatan kira-kira satu peratus keluaran dalam negara kasar setahun. Perkhidmatan ini akan menjadi lebih mudah menjelang Mac tahun depan apabila semua bank menyediakan sekurang-kurangnya satu kios perbankan Internet di semua cawangan masing-masing.
“Ini akan memberikan lebih kemudahan kepada orang ramai untuk mengakses perbankan dalam talian dan perkhidmatan Giro Antara Bank (IBG),” katanya. Pada Jun 2013, ada sejumlah 14.6 juta pelanggan perbankan Internet di negara ini, terdiri daripada 14.3 juta individu dan 300,000 pelanggan korporat. “Ini adalah kadar penembusan penduduk negara ini sebanyak 49.1 peratus,” kata Ahmad.
Perbankan mudah alih
Bilangan pelanggan perbankan mudah alih sudah mencapai 3.25 juta, dengan kadar penembusan sebanyak 10.9 peratus jumlah penduduk dan 7.6 peratus daripada keseluruhan pelanggan mudah alih, katanya. “Usaha berterusan untuk meningkatkan teknologi perbankan mestilah digalakkan selanjutnya agar bidang ini akan juga menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara dan rakyat,” katanya. – BERNAMA