Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran 18 peratus penduduk Malaysia mendapat akses perkhidmatan Maxis 4G LTE menjelang akhir tahun ini.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] maxis 4g lte

Pengerusinya, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, buat masa ini liputan perkhidmatan berkenaan mencapai 10 peratus daripada penduduk di Malaysia selepas ia mula diperkenalkan awal tahun ini.

“Sejak diperkenalkan awal tahun ini, perkhidmatan 4G LTE boleh didapati di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sarawak.

“Sehingga Jun lalu, kami mencatatkan 250,000 pelanggan dengan peranti 4G LTE dan dijangka mencapai sasaran 18 peratus penduduk Malaysia menggunakan perkhidmatan ini menjelang akhir tahun,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan terus mengembangkan eko-sistem dengan pelbagai peranti pintar 4G, kandungan dan perkhidmatan menarik untuk pengalaman digital yang lebih kaya.

“Kerana itu, sebahagian besar daripada perbelanjaan modal yang diperuntukkan adalah untuk tujuan meningkatkan rangkaian dengan jumlah RM407 juta,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan Maxis bagi suku kedua 2013 di sini, semalam.

Dalam tempoh berkenaan, Maxis mencatatkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2013 sebanyak RM530 juta, meningkat 11.3 peratus berbanding suku sebelumnya didorong kekukuhan perniagaan bukan suara khususnya Internet mudah alih dan pengurusan kos yang berhemah.

Ia juga menyaksikan bahawa Maxis adalah satu-satunya pembekal perkhidmatan komunikasi bersepadu yang mencatatkan keuntungan pada jumlah berkenaan.

Syarikat juga mencatatkan hasil sebanyak RM2.2 bilion hasil pertumbuhan kukuh dalam data yang membantu mengatasi penurunan hasil suara dan SMS. Hasil bukan suara untuk suku kedua dicatatkan sebanyak RM1.02 bilion dan menyumbang 47.6 peratus daripada hasil mudah alih.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) dicatatkan sebanyak RM1.1 bilion, 3.8 peratus lebih tinggi daripada suku tahun sebelumnya didorong pengurusan kos yang berhemah dengan margin meningkat kepada 50.8 peratus dalam tempoh sama.

Bagi separuh pertama 2013, Maxis mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1 bilion bersandarkan pertumbuhan hasil sebanyak empat peratus kepada RM4.6 bilion. -hmetro

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *