PERBADANAN Pembangunan Multimedia Malaysia MDeC menyasarkan nilai pelaburan lebih RM2 bilion dalam sektor perkhidmatan dan penyumberan luar infrastruktur teknologi maklumat ke negara ini, menjelang akhir tahun.
[adsenseyu6] | ![]() |
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata, sasaran itu ditetapkan selepas melihat pencapaian positif nilai pelaburan dalam sektor berkenaan sepanjang tahun lalu. Menurutnya, secara keseluruhan nilai pelaburan dalam sektor berkenaan sepanjang tahun lalu mencecah RM2 bilion dengan 1.5 peratus menyumbang kepada pendapatan negara kasar (GNI).
“Malah, kita mendapati nilai pelaburan RM1 bilion diperoleh daripada Pusat Penyampaian Global (GDC) IBM Malaysia dan yakin dengan pelbagai usaha sedang dilaksanakan ketika ini, sasaran itu dapat dicapai,” katanya selepas majlis perasmian GDC IBM di Cyberjaya, semalam. Perasmian disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Pengurus Besar Penyampaian Teknologi Global dan Penyampaian Kecemerlangan IBM, Patt Cronin. IBM Corporation adalah syarikat teknologi maklumat multinasional berpangkalan di New York, Amerika Syarikat yang akan melabur sehingga RM1 bilion dalam tempoh enam tahun untuk membangunkan GDC di Cyberjaya. -hmetro