SEBANYAK 12 Projek Permulaan (EPP) berasaskan teknologi maklumat (IT) akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang akhir tahun ini.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata 12 EPP menerusi Program Transformasi Digital atau Digital Malaysia dijangka menjana RM60 bilion kepada Pendapatan negara Kasar (KDNK) hingga 2020. Katanya, sebahagian daripada EPP yang akan diumumkan itu sudah dihubungkan dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
12 projek IT diumum akhir tahun dalam Program Transformasi Digital
“Ia akan diumumkan Perdana Menteri kelak termasuk nama khusus bagi EPP baru itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Fuji Xerox DocuWorld 2011 bersempena ulang tahun ke-45 syarikat itu, di Kuala Lumpur, semalam.
Ongkili berkata, objektif utama pelaksanaan Digital Malaysia adalah untuk menyelaraskan semua pelaburan dan pertumbuhan dalam projek it.
Ogos lalu, Najib ketika mengumumkan Program Transformasi Digital berkata, inisiatif Digital Malaysia adalah satu daripada program transformasi utama dalam dasar transformasi nasional yang juga inisiatif terakhir diketengahkan selepas Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diumumkan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, sebahagian inisiatif itu akan memberi tumpuan khusus kepada dua pemacu utama, iaitu inovasi dan kreativiti serta produktiviti.
Katanya, Digital Malaysia menjadi inisiatif utama yang akan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC).
Selain itu, katanya, inisiatif ICT sedia ada menyumbang kepada GNI sebanyak RM93 bilion dan jangkaan RM126 bilion daripada projek ICT di bawah GTP dan ETP. -berita harian
