PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini melancarkan media sosial Facebook dan Twitter rasmi unit Agropreneur Muda bagi memudahkan golongan belia mendapatkan maklumat lengkap mengenai peluang menceburi bidang pertanian.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] Agropreneur Muda

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian mempelawa belia di seluruh negara menceburi bidang pertanian supaya dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani berjaya pada masa depan.

“Kaji selidik yang dilakukan kementerian menerusi Facebook mendapati golongan belia mempunyai minat dalam bidang pertanian antaranya pelancongan agro, bakeri, akuakultur, perdagangan, pemprosesan makanan, penternakan, tananaman, ternakan burung walit dan banyak lagi,” katanya.

Facebook dan Twitter Unit Agropreneur Muda

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Facebook dan Twitter Unit Agropreneur Muda serta mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Agropreneur Muda (MPAM) di sini hari ini.

Alamat Facebook Agropreneur Muda ialah ‘Unit Agropreneur Muda UAM‘ manakala Twitter ialah ‘@agropreneurmuda’. Menurutnya, skim Agropreneur Muda itu terbuka kepada semua golongan belia berumur 40 tahun ke bawah dengan bantuan pembiayaan kewangan menerusi Tekun Nasional dan Agro Bank.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata sektor pertanian kini terbukti memberi pulangan lumayan sambil memberi contoh perniagaan madu lebah yang diusahakan mampu menghasilkan pendapatan antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan dengan modal permulaan hanya kira-kira RM70,000.

Mengenai Unit Agropreneur Muda berkenaan, Ismail Sabri berkata kementerian akan menganjurkan bengkel dan program jelajah bagi mempromosikan unit berkenaan ke seluruh negara, dalam masa terdekat.

“Kementerian akan menetapkan sasaran (jumlah jualan hasil pertanian) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI),” katanya.

Mesyuarat MPAM itu antara lain mencadangkan agar diwujudkan koordinasi antara kementerian, jabatan, agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam merancang program Agropreneur tersebut.

MPAM akan berperanan sebagai badan perunding dan penasihat dalam hal berkaitan pembangunan agropreneur muda dengan keahlian seramai 10 orang terdiri daripada usahawan muda yang berjaya. – Bernama

 

admin
admin

Would you like to share your thoughts?