Kuala Lumpur: YTL Communication Sdn Bhd (YTL Communication), penyedia perkhidmatan Internet mudah alih dengan suara terpantas, Yes, optimis untuk mencapai satu juta pelanggan menjelang akhir tahun ini bersandarkan kepada pembukaan cawangan utama dan menerokai pasaran Sabah.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Setakat ini, Yes menjadi peneraju dalam sistem Internet berkelajuan 4G di Malaysia dengan memiliki lebih 700,000 pelanggan dan enam cawangan utama, lapan kios mudah alih serta 30 cawangan rakan runcit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wing K Lee berkata, enam cawangan baru itu akan dibuka menjelang akhir tahun ini termasuk di Sabah yang mana lokasi berkenaan adalah pasaran baru yang akan diterokainya dalam tempoh dua bulan akan datang.
Beliau berkata, penerokaan pasaran baru dan penambahan cawangan amat membantu syarikatnya menambah penguasaan pasaran yang mana jenama Yes dapat diperkukuhkan di pasaran Malaysia malah, YTL Communication juga bercadang memasuki pasaran Sarawak selepas Sabah dalam tempoh terdekat.
“Syarikat sentiasa meningkatkan bilangan rangkaian cawangan dengan memperuntukkan nilai pelaburan tertentu yang mana ia dapat menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan kami sebagai peneraju pasaran Internet mudah alih 4G terpantas di Malaysia.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan pelbagai produk komunikasi yang disediakan di cawangan utama kami bagi melihat kepantasan Internet Yes menerusi produk-produk berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran cawangan utama Yes di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, semalam.
Cawangan utama itu yang mempunyai keluasan 1,308 kaki persegi sebelum ini beroperasi secara kios di pusat beli-belah berkenaan dan menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya membuat pendaftaran baru, membuat tambah nilai, membayar bil dan membeli pek permulaan Yes. -hmetro
