Client Login Client Area   |   Phone 09-7430977

Trend beli kupon online

SEBELUM ini, Chai Ying Huei, hanya menggunakan kupon-kupon cara lama iaitu keratan-keratan kecil yang dikeluarkan oleh pihak peniaga khususnya yang berkaitan bisnes restoran.

Klik untuk besarkan gambar
kupon

Meskipun, nilai potongan harga terlalu rendah. Ia sudah cukup buat wanita yang berusia 31 tahun itu mencuba promosi makanan yang diminatinya.

Namun, kira-kira dua bulan lalu, dia diperkenalkan dengan gaya terbaharu yang menawarkan potongan harga lebih 50 peratus. Tertarik dengan konsep tersebut, Ying Huei mula menjadikan konsep berbelanja dengan kupon sebagai gaya hidup.

“Dalam sebulan, saya akan membelanjakan di antara RM200 hingga RM300 untuk membeli kupon. Paling kerap adalah pembelian makanan dan barang kecantikan.

Laman web kupon

“Antara laman web yang menjadi perhatian saya untuk membeli kupon adalah Groupon (groupon.my), MilkADeal (milkadeal.com) dan Everyday (everyday.com.my). Kesemuanya mempunyai promosi yang berbeza tetapi dengan kaedah yang sama,” ujar pegawai pemasaran kandungan, Primework Sdn. Bhd. itu.

Ying Huei berkata, untuk membeli kupon-kupon di talian Internet, beberapa perkara perlu diambil perhatian walaupun paparan harga sangat murah.

“Perkara paling penting adalah kita mesti mengetahui dahulu harga sebenar sesuatu promosi atau produk. Kemudian, bandingkan dengan harga selepas potongan.

LAMAN web diskaun everyday.com.my pasti mempunyai antara muka yang memudahkan pengguna.

“Pemilihan barang pula mesti berdasarkan kepada kemahuan dan keperluan. Jika melihat kepada harga potongan memang sangat murah,” terangnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Ying Huei, perkara yang terkandung dalam terma dan syarat perlu diteliti.

“Setiap kali mahu membeli tawaran kupon, pastikan dahulu tempoh sah laku kupon kerana seseorang boleh mengalami kerugian jika terlepas tarikh.

“Periksa juga sama ada promosi yang dibeli itu memerlukan anda melakukan tempahan awal atau tidak bagi merancang perjalanan.

“Amat rugi jika anda datang untuk menggunakan kupon tetapi tidak boleh menggunakannya secara terus (walk-in). Masa penggunaan kupon juga perlu diteliti kerana sesetengah hanya boleh ditebus pada hujung minggu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ying Huei dan seorang lagi pengguna kupon, Alvin Liew, 27, bersetuju bahawa diskaun yang ditawarkan dalam laman-laman web itu sangat menjimatkan.

“Saya baru sahaja memperbaharui cat kereta dengan harga yang sangat murah berbanding harga sebenar. Sekali-sekala dengan kupon yang dibeli, saya boleh belanja ahli keluarga makan,” ujar Alvin.

Berbeza pula dengan Anfaal Nawawi dari Pulau Pinang. Dia sebelum ini bekerja sebagai perancang strategi di salah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dan pada masa yang sama sangat gemar menulis blog, melayari Internet serta membaca blog kepunyaan orang lain.

“Melalui perkongsian pautan dalam blog, saya menemui laman web Everyday yang membuat tawaran pembelian kupon-kupon dengan potongan yang tinggi.

“Pada mulanya, saya agak was-was juga tetapi selepas bertanya pada rakan-rakan, ia terbukti benar,” ujar wanita berusia 28 tahun itu.

“Bagi saya, tawaran yang ada di Everyday sangat menyenangkan seperti baru-baru ini saya dapat mengecat semula kereta pada harga yang murah dengan kupon,” ujarnya.

Anfaal meletakkan jawatan dan bekerja di laman web tersebut kerana tertarik dengan gaya hidup berbelanja dengan kupon serta potensi perniagaan yang menggunakan medium Internet itu.

Falsafah lima T

Berbelanja pada harga yang sangat rendah dengan menggunakan kupon yang dibeli melalui Internet boleh dianggap sebagai gaya hidup terbaharu di Malaysia terutamanya bagi penduduk bandar.

Menggunakan teknik yang pasti memberikan keuntungan kepada para pengguna dan pihak peniaga. Laman web Everyday mempunyai beberapa kaedah bagi memastikan matlamat tersebut dicapai.

INDUSTRI melibatkan pembelian kupon diskaun secara dalam talian cepat berkembang dan terus mempunyai prospek pasaran dan permintaan.

Bermula sebagai sebuah laman web yang menyediakan panduan aktiviti dan ekspo jualan murah, Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Methods Sdn. Bhd. (Integrated Methods), Edwin Wang, 32, berkata, perniagaan tersebut hanya bermula pada April lalu.

Integrated Methods merupakan syarikat tempatan yang mengendali operasi everyday.com.my selepas menerima idea dan suntikan modal daripada sebuah syarikat Korea, Ticketmonster.

“Pada peringkat awal, ia sangat perlahan terutamanya pada bulan pertama tetapi menjelang akhir Julai lalu, jumlah hasil menjangkau sehingga RM1.5 juta,” ujarnya ketika ditemui di ibu pejabatnya yang terletak di Boulevard Office, Mid Valley.

Menurut Edwin, catatan jualan kupon tertinggi adalah bufet Hotel Grand Millenium iaitu sebanyak 10,000 keping yang dijual dalam masa 25 jam pada bulan Mei lalu.

“Strategi pemasaran kami adalah menggunakan falsafah lima T iaitu topik, cakap (talking), alat (tool), ambil bahagian (taking part) dan kesan (tracking).

“Kami di everyday.com.my akan mencipta topik melalui tawaran potongan harga yang murah dan orang ramai terutamanya kaum wanita akan bercerita mengenainya.

KONSEP berbelanja dengan kupon bakal mengubah gaya hidup masyarakat Malaysia. – Gambar hiasan

“Kelompok sasaran kami ialah kaum wanita kerana mereka suka berbelanja dan setiap wanita pasti mempunyai rakan lelaki ataupun suami.

“Laman web kami pula direka supaya kedua-dua pihak (pembeli dan peniaga) dapat memberi maklum balas berkenaan produk. Di pangkalan data kami terdapat lebih 500,000 orang yang berdaftar dengan laman web kami,” terang Edwin mengenai operasi syarikatnya.

Daripada jumlah itu, mereka mempunyai di antara 30,000 hingga 40,000 orang yang aktif membeli kupon sekurang-kurangnya sekeping.

Melalui laman web Everyday, pekerja-pekerja di bahagian jualan akan berunding dengan pemilik kedai bagi mendapatkan potongan harga terendah sekurang-kurang 50 peratus.

Pihak pekedai pula akan dijanjikan kehadiran pelanggan baharu dengan jumlah tertentu. Selepas perjanjian dibuat, tawaran harga kupon yang dipersetujui akan disiar di laman web.

Pada masa yang terhad iaitu di antara empat hingga lima hari, tawaran dibuka sehingga angka pembeli kupon mencapai sasaran atau had yang ditetapkan. Jika tidak, ia akan terbatal seterusnya wang pengguna dipulangkan.

Tambah Edwin, pihak mereka akan memastikan setiap hari akan ada sekurang-kurangnya lima tawaran baharu di laman web Everyday. -kosmo

About the Author
ejoe akman adalah founder ejoeSolutions. Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pembangunan web & pembangunan sistem online menggunakan PHP & MySQL.

Leave a Reply

Dapatkan tips-tips pembangunan laman web & promosi terkini dari kami!

ejoeSolutions adalah satu-satunya syarikat web hosting & rekabentuk laman web di Kelantan. Berikut perkhidmatan yang kami tawarkan:

  • Rekabentuk Laman Web
  • Hosting & Domain
  • Latihan ICT
  • Penyewaan Bilik Training
  • Marketing Melalui Facebook
[X] Close this popup

Your Information will never be shared