Client Login Client Area   |   Phone 09-7430977

Laman web persiapan Aidilfitri

SABAN tahun, sambutan dan persediaan menyambut hari raya semakin berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan infrastruktur negara.

Dahulu, semua kelengkapan raya seperti biskut, lauk-pauk dan pakaian baru disediakan sendiri oleh ibu bapa.

Namun, apabila Malaysia melangkah ke dekad 90-an, orang ramai mula membeli biskut dan baju raya yang sudah siap sedia. Ia kesan daripada pembangunan yang pesat sehingga menuntut kaum ibu turut bekerja.

Sejak beberapa tahun lalu, kaedah membeli barang-barang persediaan untuk hari raya semakin mudah dan pantas apabila ibu bapa atau orang muda hanya perlu melayari Internet.

Bagi tujuan itu, sebuah laman web perdagangan yang baru beroperasi pada bulan Jun lalu, disini.my memperkenalkan sebuah ikon untuk festival.

Ikon tersebut dibuat khas untuk pembeli dalam talian melihat semua barang persediaan hari raya serta memberi publisiti kepada penjual memperkenalkan produk mereka secukupnya.

Menurut Pengurus Kanan, Juasa Holdings Sdn. Bhd., Faisal Mokhtar, 44, ikon tersebut direka untuk memudahkan pembeli dalam talian mencari barang-barang perayaan ‘di hujung jari mereka’.

“Urusan perniagaan masih sama. Cuma, pengenalan ikon tersebut memudahkan pelanggan selain memberi promosi tambahan kepada pihak penjual dalam tempoh yang singkat,” ujar Faisal ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara barang-barang yang tersenarai ialah baju Melayu, baju kurung, kebaya, biskut raya, hamper dan kasut. Malah, lampu hiasan turut berada dalam senarai.

Ikon tersebut akan diubah berdasarkan kepada perayaan yang disambut termasuk menjual barang-barang untuk pelajar ke sekolah pada bulan Disember.

Sistem

DENGAN hanya melayari Internet di ruang tamu rumah, pelanggan boleh membeli baju raya, kuih raya atau hamper raya dengan menekan satu klik.

Kata Faisal, sistem untuk ikon festival itu dapat direka kerana ia adalah standard aturcara yang diguna pakai oleh laman web perdagangan www.disini.my.

Setiap barang akan mendapat paparan laman yang menunjukkan pelbagai maklumat mengenainya termasuk gambar produk berkenaan.

Selepas 30 hari, satu e-mel pemberitahuan akan dihantar sebagai peringatan bahawa paparan iklan barang jualan akan dipadamkan.

“Penjual boleh memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari bagi membolehkan iklan itu terus berada dalam laman web disini.my.

“Proses tersebut akan berterusan sehingga penjual tidak mahu barang mereka diiklankan,” terang Faisal yang merupakan individu yang menjadi perancang laman web tersebut.

Mengulas mengenai pemilihan barang-barang, ujarnya, sistem yang terdapat pada disini.my akan mengesan setiap perkataan yang berkait dengan sesuatu perayaan menerusi maklumat yang diberi penjual.

Sebagai contoh, bagi perayaan hari raya, semua perkataan yang berkaitan seperti raya, Aidilfitri, kurma, Ramadan dan puasa akan ditarik masuk ke dalam senarai ikon untuk festival.

“Jadi, penjual akan mendapat iklan tambahan bagi barangan yang dijual secara bermusim itu,” kata Faisal lagi.

Kira-kira 400 patah perkataan boleh ditaip oleh penjual bagi mempromosi barangan mereka selain gambar-gambar yang oleh dimuat naik sehingga lima keping.

Laman web urus niaga itu telah dibangunkan bermula awal tahun 2011 dan merupakan sebuah platform kepada peniaga dengan menyediakan tapak untuk mengiklankan produk.

Ujar Faisal, disini.my merupakan laman web termurah dengan bayaran keahlian RM30 untuk enam bulan, manakala RM60 bagi langganan selama setahun.

Keahlian atau lebih dikenali sebagai e-kedai membolehkan penjual menjual lebih barang berbanding dua buah item yang dibenarkan bagi bukan ahli.

Banyak pilihan

Sementara itu, salah seorang pembeli dalam talian yang aktif, Sharifah Ivy Nor Adila Syed Azmi, 33, mengakui ikon festival yang berada dalam laman sesawang disini.my memudahkan pembelian.

SELAIN ke kedai atau bazar jualan, pengguna kini boleh mendapatkan pelbagai jenis biskut raya melalui Internet. – Gambar hiasan

Katanya, kebanyakan laman perdagangan yang ada susah untuk dilayari kerana satu laman hanya boleh melihat satu barang yang dijual.

Jika mahu melihat barang lain, pelayar Internet perlu melakukan beberapa langkah daripada menutup laman sedia ada sehingga membuka kembali laman yang baharu.

“Jadi, pengenalan ikon untuk festival tersebut sangat memudahkan pelayar-pelayar Internet untuk melihat barang yang boleh dibeli sempena sambutan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia yang sudah lebih dua tahun menggunakan medium Internet sebagai ‘pasar raya’ berpendapat laman sosial dan blog lebih mudah dilayari.

“Secara peribadi, saya lebih suka membeli-belah menggunakan Facebook kerana setiap kemaskini oleh pekedai boleh dilihat dengan senang apabila melayari Internet,” ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Namun begitu, menurut Ivy Nor Adila, laman perdagangan amat berguna apabila melibatkan perniagaan hartanah kerana pelbagai maklumat yang terpapar dalam laman tersebut.

Info-info seperti harga dan lokasi hartanah memainkan peranan penting kerana harganya sentiasa berubah mengikut masa dan tempat.

“Tahun lalu, saya dan suami baru sahaja membeli sebidang tanah selepas melakukan perbandingan hartanah melalui laman perdagangan,” kata Ivy Nor Adila berkongsi tip.

Tambahnya, suaminya lebih suka membeli-belah di laman perdagangan berbanding dirinya kerana pelbagai barang boleh diperoleh menerusi kaedah tersebut.

About the Author
ejoe akman adalah founder ejoeSolutions. Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pembangunan web & pembangunan sistem online menggunakan PHP & MySQL.

Leave a Reply

*

Dapatkan tips-tips pembangunan laman web & promosi terkini dari kami!

ejoeSolutions adalah satu-satunya syarikat web hosting & rekabentuk laman web di Kelantan. Berikut perkhidmatan yang kami tawarkan:

  • Rekabentuk Laman Web
  • Hosting & Domain
  • Latihan ICT
  • Penyewaan Bilik Training
  • Marketing Melalui Facebook
[X] Close this popup

Your Information will never be shared